|
Kenaikan yuran langganan ASTRO antara RM5-RM15 telah memberi reaksi yang berbeza-beza dari rakyat mahupun para menteri. Kecewa apabila saya membaca di ruangan Forum ada yang menyatakan luahan mereka yang tidak mampu untuk membayar yuran langganan dan kemungkinan untuk tidak dapat menonton rancangan kegemaran mereka iaitu Akademi Fantasia. Begitu besarkah impak AF sehinggakan rakyat begitu marah yuran dinaikkan? Janganlah kita terlalu taksub dan terpengaruh dengan rancangan-rancangan yang memberikan hiburan semata-mata.
Kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menyatakan jika tidak mampu untuk membayar yuran langganan ASTRO, tidak perlu menontonnya lagi. Mungkin bagi sesetengah pihak, respon beliau tidak wajar dan seperti pelajar sekolah. Bagi saya komen itu adalah antara banyak kenyataan yang telah dia nyatakan sebelumnya. Itu adalah komen kepada mereka yang sering merungut dan seolah-olah mereka telah hilang sebahagian kehidupan dengan tidak menonton ASTRO.
Industri penyiaran bukan sebuah perniagaan yang murah. Setiap hari mereka berurusan dengan berjuta-juta ringgit seperti membeli hak penyiaran luar negara. Undang-undang bagi stesen televisyen berbayar adalah berbeza dengan stesen televisyen percuma (terrestrial television). Stesen televisyen berbayar tidak boleh sewenang-wenangnya berkongsi rancangan dengan stesen komersil televisyen. Mereka terikat dengan peraturan yang berlainan dan stesen televisyen percuma perlu membayar kos yang tinggi juga untuk menayangkan rancangan-rancangan seperti siaran langsung perlawanan bola seluruh dunia. Kita sudah bersyukur jika perlawanan bola tempatan ditayangkan secara langsung di mana-mana stesen televisyen percuma.
Berkenaan dengan iklan, jika ingin mengurangkan tayangan iklan, maka pemilik-pemilik stesen televisyen terpaksa menaikkan kadar harga bagi satu slot iklan. Apabila kadar harga dinaikkan, maka makin berkuranglah para pengiklan untuk membeli slot tersebut dan bagaimana pula stesen-stesen televisyen ini ingin beroperasi?
Saya ingin cadangkan kepada mereka yang tidak mampu membayar yuran langganan ASTRO agar berkongsi membayar yuran tersebut antara 2 dan 3 keluarga. Mereka boleh berkumpul bersama-sama disamping dapat merapatkan hubungan sesame jiran tetangga dan menonton rancangan kegemaran mereka. Bagi pemilik-pemilik stesen televisyen sama ada berbayar mahupun percuma, kos operasi dan pembelian rancangan boleh dikurangkan dengan mengurangkan gaji dan elaun bagi pegawai-pegawai yang berjawatan tinggi. Saya berpendapat dengan potongan antara 10%-20% tidak akan menyusahkan kehidupan mereka.
Kita perlu faham bahawa pendapatan stesen televisyen terutama bagi stesen televisyen percuma bergantung kepada pengiklanan dan mereka berusaha untuk menyajikan rancangan-rancangan yang bermutu kepada kita. Bersyukur dengan apa yang ada dan mampu. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan diri dan memartabatkan negara. |
| Leave a Comment: |